Ahad, November 01, 2009

Nanar

Alhamdulillah. Puisi pendek ini merupakan puisi sulung saya yang disiarkan di Berita Minggu. Sebenarnya sudah lama saya meneliti dan memerhati puisi jenis bagaimana yang selalunya disiarkan di akhbar tersebut. Nanar ditulis setelah bosan bekerja untuk projek di studio juga sebagai permulaan protes terhadap sistem pendidikan untuk kursus senibina di United Kingdom. Setelah hampir 3 tahun menuntut di sini, saya benar-benar tidak lagi mahu melukis nanar itu di angin lalu.

Berikut diturunkan puisi yang saya maksudkan:

NANAR


bermesra denganmu, kulihat diriku

lemas dalam lautan warna dan garisan

karam dalam segara aksara dan perasaan

aku makin tersesat mencari kiblat

di dunia yang sengaja kau pesatkan


ah, aku benar-benar tidak lagi mahu

melukis nanar itu di angin lalu

tatkala sendu seruling-Nya

mengajak aku kembali menjadi

lelaki paling asli dan abdi!


Hazwan Ariff Hakimi

Nottingham, UK

12 Oktober 2009


Berita Minggu, 1 November 2009

Tombolo Cinta II

Alhamdulillah. Rezeki turun mencurah-curah di kebun ibadah. Kali ini, editor Mingguan Malaysia menghidangkan sebuah puisi yang saya tulis sebagai kesinambungan kepada Tombolo Cinta, cuma puisi kali ini mewajahkan persoalan yang sangat berbeza. Sejujurnya, saya mendapat ilham untuk menulis puisi ini setelah menonton video deklamasi puisi Menyembelih Haiwan karya Fahd Razy (Dublin) dan Maafkanku Ramallah karya Hafez Iftiqar (Melbourne).

Saya turunkan puisi yang dimaksudkan di bawah buat santapan minda dan rohani:

TOMBOLO CINTA II


di sana, seribu anak kecil

menari mengikut rentak batu

tanpa jeda, kiamat melagu

bernotasikan darah dan sumpah

demi izzah sebuah ummah


di sini, sejuta anak muda

masih terkial-kial memegang raifal

lewat musim perang begini

semangat Islami telah mengewap

bebal memejal dalam rapsodi –

sebuah muzik eksistensi


anak kecil, ketahuilah –

seribu tingkahmu telah mengajak

singa-singa jinak mengasah taring

mengutip puing-puing babad yang

berserakan di jalan jihad

selagi aku adalah kau

selagi kau adalah aku


dalam lirih tarian debu itu

kau menjelma dan menyapa,

“ini tombolo cinta kepada

kematian yang menghidupkan.”


Hazwan Ariff Hakimi

Nottingham, UK

23 Oktober 2009


Mingguan Malaysia, 1 November 2009

Selasa, Oktober 27, 2009

Pedang Waktu

Alhamdulillah. Tidak saya sangka puisi yang ditulis ketika sedang termenung melihat jam sambil beratur menunggu untuk daftar masuk (check-in) di London Heathrow Airport ini merupakan puisi sulung saya yang disiarkan di majalah Tunas Cipta (TC), November 2009. Penyiaran puisi ini saya anggap sebagai pemberian hadiah hari jadi saya daripada pihak TC. Puisi ini juga turut saya tampilkan dalam ruangan Bicara Tunas, TC, Oktober 2009. (klik untuk baca wawancara tersebut).

Untuk pengetahuan, saya juga ada mengirimkan dua buah puisi ke meja editor TC yang pada pendapat saya, lebih menggugah rasa. Puisi-puisi tersebut saya tulis semasa berada di luar negara. Sama-samalah kita nantikan ...

Saya turunkan puisi Pedang Waktu untuk anda nikmati:

PEDANG WAKTU


tik, tik, tik … waktu –

aku selalu ditelan ruangnya

dengan sebilah pedang kayu dan

sebalang renungan di tangan

aduh, aku belum mampu mengunyah hikmah –

bukan ia selautan angka

dan segunung emas cuma

tetapi adalah ia semesta kehidupanku


mengapa tidak sedetik jua pun

aku berazam untuk menjadi

seorang faqih seperti Mu’adz bin Jabal

seorang mujahid seperti Usamah bin Zaid

seorang pemimpin seperti Muhammad Al-Fateh

atau seorang anak warisan umat

yang berjuang di kaki zaman?


nah, mungkin kerana aku selalu disenyonyong

di tokong-tokong iblis

menjadi benalu takdir, menyalahkannya

sambil menusuk sepotong rohku

yang meronta-ronta minta

dilepaskan dari sangkar nafsu


tersungkur di gurun mehnah ini

aku keseorangan berperang dengan silam

dalam kedahagaan merintih

untuk seteguk keampunan


(semakin aku memunggah hikmah ibadah

semakin aku merdu melagukan kalimah-Mu

di pentas kekhalifahan ini)


aku masih dengan sebilah pedang kayu

melewati jalan jihad ini, Rabb …

izinkan aku syahid, gugur

dipancung pedang waktu-Mu.


Hazwan Ariff Hakimi

London Heathrow Airport, UK

1 Ogos 2009


Tunas Cipta, November 2009


* Mehnah – ujian dan seksaan yang berat berupa bala

Ahad, Oktober 18, 2009

Langit Kelabu di Masjid Biru

Alhamdulillah. Selepas kejayaan puisi Gua Seribu Gema (klik untuk baca puisi tersebut) memikat hati editor September lepas, bulan ini puisi Langit Kelabu di Masjid Biru pula disiarkan di Mingguan Malaysia. Puisi yang telah disunting baru-baru ini turut saya tampilkan dalam ruangan Bicara Tunas, Tunas Cipta, Oktober 2009. (klik untuk baca wawancara tersebut).

Selamat menikmati puisi yang saya maksudkan:

LANGIT KELABU DI MASJID BIRU


Istanbul, telah bayu yang

mendobrak kubu jahili

mengirim rindu Al-Fatih, lalu

kau sambut dengan iklim bahagia

ke seluruh tanah zarahnya melata


ketahuilah –

jubin Iznik berdarah itu

tidak bisa kucuci dengan

selaut wuduk dari ziarah ini

tatkala puisi Sulaiman kepada Karima

hiba berdiksi di taman larangan Topkapi

dan lagu iri Ataturk, si peniup ney

mengoyakkan peta purba, hilang

di padang kehidupan yang tercekik


Istanbul, sering kali kau bertanya,

“mengapa ada yang memanggang dosa

semasa hujan pengampunan turun

mencurah-curah di kebun ibadah?”


dalam setiap langkahku

melewati mimbar duka ini

di sini, camar-camar setia

mengelilingi menara cinta

memanggilku kembali – kembali

mentafsir takdir yang terlukis

pada langit kelabu di Masjid Biru.


Hazwan Ariff Hakimi

Masjid Biru, Istanbul

9 September 2009


Mingguan Malaysia, 18 Oktober 2009

Jumaat, Oktober 09, 2009

Bicara Tunas, Tunas Cipta, Oktober 2009

Pada Ogos lalu, saya telah diwawancara oleh Kak Esha, penolong editor majalah Tunas Cipta (TC) yang berhajat untuk menampilkan saya dalam ruangan Bicara Tunas untuk TC, Oktober 2009. Pada bulan Oktober, TC memberi fokus kepada penulis muda yang berada di luar negara. Berikut ialah kandungan wawancara yang berkenaan:

http://img381.imageshack.us/img381/3559/scan0001p.jpg
Klik sini untuk paparan yang lebih jelas

http://img190.imageshack.us/img190/1144/scan0002yh.jpg
Klik sini untuk paparan yang lebih jelas

Terima kasih kepada Bonda Ani dan Kak Esha kerana sudi menampilkan saya dalam TC Oktober juga kepada adik saya, Hazran yang telah bermurah hati mengirimkan foto-foto di atas.

Jangan ketinggalan untuk mendapatkan TC Oktober!

Ahad, Oktober 04, 2009

Sayembara Puisi Berunsur Islam GKLN 2009

Mahu puisi anda dibukukan?

2006
Antologi puisi Al-Andalus Menangis

http://img38.imageshack.us/img38/1498/aamcoverbelakang.jpghttp://img11.imageshack.us/img11/3594/aamcoverdepan.jpg

2007
Antologi puisi Wilayah Cinta

http://img198.imageshack.us/img198/196/wilayahcintafull.jpg

2008
Antologi puisi Bahasa Bumi

http://img38.imageshack.us/img38/6499/bahasabumicover.jpg

2009
Antologi puisi Badar Metropolitan

http://img169.imageshack.us/img169/7046/badarmetropolitancover.jpg

2010
Antologi puisi [judul puisi anda?]

http://img198.imageshack.us/img198/937/postersayembara.jpg

Hebahkan maklumat ini kepada teman-teman anda di seluruh dunia
kerana ini musim menarikan pena!

Jumaat, September 25, 2009

Kalendar Karya dan Baju T Darma Seni

Saya baru sahaja menempah kalendar 2009/2010 daripada Vistaprint yang akan menampilkan wallpaper-wallpaper yang saya siapkan untuk Sayembara Wallpaper Karyawan Luar Negara 2009/2010. Sila rujuk sini untuk membaca catatan tentang wallpaper-wallpaper yang dimaksudkan.

http://img18.imageshack.us/img18/987/livepreviewaspxr.jpg
Kulit hadapan kalendar

http://img17.imageshack.us/img17/386/livepreviewaspx1.jpg
November 2009 menampilkan puisi Hidup Bersama karya S.N. A. Samad Said

http://img33.imageshack.us/img33/1285/livepreviewaspx2.jpg
Mac 2010 menampilkan cerpen Musim Yuda karya Zaen Kasturi

Saya juga telah menerima baju T Darma Seni yang memuatkan alamat blog ini serta dua baris daripada puisi baharu saya yang berjudul Darma Seni II.

http://img15.imageshack.us/img15/9605/livepreviewaspx4.jpg

Terlalu banyak produk yang boleh ditempah secara percuma di sini. Jangan ketinggalan!